Bustan Mawaddah

"Keperluan terbesar sebuah empayar besar adalah sebuah idea yang kehadirannya sememangnya tepat pada waktunya"

7:42 PM

Sambutan Aidilfitri PLPDT Meriah

Posted by Mohd Khairul Mohd

PLPDT telah menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri pada 25 September di perkarangan Madrasah Darul Taqwa, Batu Enam.

Aktiviti tahunan ini mendapat sambutan yang agak baik dari kalangan ahli. Majlis ini turut mengundang ADUN Bukit Tunggal Dr. Alias Razak.

Turut hadir Penasihat PLPDT Ustaz Azhar Rejab dan guru Darul Taqwa. Majlis bermula pada jam 10 pagi diisi dengan juadah sate, nasi dan lain-lain.

Majlis ini juga turut diisi dengan ucapan Dr. Alias Razak yang banyak memberi penekanan dalam aspek pembangunan rohani dan pemilihan jentera kerja bagi menggerakkan dakwah Islam di segenap lapisan masyarakat.

Pengarah majlis, Ustaz Jailani Mamat tidak putus-putus menghulurkan senyuman sambil mengucapkan terima kasih di atas penyertaan ahli PLPDT ke majlis sambutan perayaan kali ini.

Majlis berakhir pada jam 1.00 petang dengan penyertaan sekitar 150 orang peserta yang terdiri dari ahli PLPDT.

Sumber daripada - www.plpdt.blogspot.com

7:32 PM

Kunjungan YB Dato' Anuar Tan

Posted by Mohd Khairul Mohd

YB Dato' Anuar Tan Abdullah antara tetamu yang tersenarai dalam jemputan menghadiri majlis ini. Kehadiran YB disambut mesra oleh ayah (bapa mertua) seolah teman akrab yang sekian lama tidak jumpa.

Kehadiran YB Dato' Anuar yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat turut memeriahkan majlis kenduri perkahwinan kami, ribuan terima kasih diucapkan di atas keluangan masa yang diberi.


Semoga YB Dato' terus bersemangat dan tabah menjalankan tugas dan mandat yang diberi rakyat.

Islam Memimpin Perpaduan.

7:24 PM

Antara Sahabat Yang Hadir

Posted by Mohd Khairul Mohd

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik dari segi persiapan, jemputan dan hidangan mendapat kerjasama yang baik daripada ahli keluarga, sanak-saudara dan teman-teman yang datang membantu.

Sahabat lama yang hadir semasa majlis kenduri di Kota Bharu ialah pasangan suami isteri Wan Habibullah, Asia Bisari dan anak. Hadir sama Saudara Alias bersama isteri dan anak menjadikan majlis ini lebih berwarna dengan corak persahabatan yang tidak pernah terputus semenjak bertemu di Kolej Universiti Darul Islamiyyah.


Saya dan isteri mengucapkan ribuan terima kasih di atas kedatangan semua, begitu juga kenalan dan sahabat-sahabat Nurul Huda yang sentiasa mendoakan kami.

7:52 PM

Doakan Kebahagiaan Kami

Posted by Mohd Khairul Mohd

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t di atas segala kurniaan-Nya mengatur segala percaturan hidup hamba-Nya, selawat dan salam buat junjungan mulia baginda nabi Muhammad s.a.w petunjuk sepanjang jalan.
Majlis akad nikah yang diadakan padaa 1 Syawal 1430H adalah saat paling bermakna dalam hidup saya, saya pasti hal yang sama turut dirasai dan kongsi oleh isteri tercinta Nurul Huda.

Kehadiran saudara mara juga tidak kurang meriahnya menanti saat baru bagi kalendar perjuangan pasangan pengantin mewakili keluarga masing-masing.

Saya percaya semua pihak telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perjalanan majlis ini, dari perancangan awal untuk persediaan hinggalah ke saat akhir majlis ingin dimulakan, semuanya mendapat sumbangan tenaga kerja yang cukub baik dan rasa kegembiraan ini seharusnya diterjemahkan melalui penghambaan serta rasa bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah mempermudahkan segala urusan akad pernikahan ini.

Mewakili keluarga, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala pengorbanan dan bakti yang dicurah semua pihak, terutama bagi pihak mertua saya Zakaria bin Idris & Nik Rohani Bt Che Ismail serta seisi keluarga.

Tidak dilupakan juga kepada sababat-sahabat yang memberi ucapan selamat pengantin dan doa samada melalui talian, perjumpaan, SMS, YM, Emel, Blog dan sebagainya. Semoga doa kalian dimakbulkan Allah dan sama-sama mendapat keberkatan dari-Nya.

Buat srikandi hati saya Nurul Huda, terima kasih di atas pengorbanan yang tidak berbelah-bahagi sepanjang perjalanan pertemuan ini. Ketabahan beliau dalam melayari bahtera kehidupan ini memberikan saya semangat untuk terus berjuang mencari keredhaan Allah.

Terima kasih untuk semua dan terima kasih untuk isteriku tersayang, engkaulah emas engkaulah intan engkaulah jantung, nonaku manis Nurul Huda.

11:03 PM

'1 Ramadhan 1 Banner'

Posted by Mohd Khairul Mohd

Pada malam tadi saya dan sahabat-sahabat lain berjaya menaikkan dua banner (dua tempat) sebaik saja selesai menunaikan solat Tarawikh. Banner yang direkacipta khas ini adalah sebagai slogan dan seruan untuk umat Islam menghayati Ramadhan dengan penuh rasa rendah diri dan penghambaan yang jitu dalam meraih segala ganjaran yang disediakan.

"Selamat Menghayati Ramadhan al-Mubarak" - Tingkatkan Amal Menuju Redha Allah. Idea dan design spontan yang disiapkan pada waktu pagi seterusnya dihantar melalui emel ke syarikat penerbitan dan percetakan untuk tindakan seterusnya.

Alhamdulillah dua banner dapat dinaikkan pada malam tadi. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dapat memberikan kesedaran kepada diri saya dan orang ramai untuk terus memperbaiki amal dan meningkatkan amalan kerohanian sepanjang pelayaran Ramadhan yang amat bermakna ini.

1 Ramadhan 1 Banner

Alangkah indahnya melalui hari-hari sepanjang Ramadhan ini kita sentiasa bermuhasabah, setiap hari yang dilalui pastinya memberikan kelainan dan perbezaan bagi insan yang tekun mengerjakan ibadah dan pengabdian kepada-Nya. Setiap hari sepanjang Ramadhan pasti lebih bermakna seandainya kita dapat menyiapkan 'banner muhasabah'atau lebih mudah '1 Ramadhan 1 Banner'.

Jika diamati ia seakan iklan yang dimainkan di televisyen '1 Malaysia 1 Perpaduan', namun iklan ini lebih mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda pahala di sisi Allah dengan tekad untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri ke arah jalan yang terbaik sepanjang keberlangsungan Ramadhan al-Mubarak.

Ramadhan yang mulia usah dicemari dengan alasan yang boleh menggugat iman, usah dicemari dengan alasan mencari habuan dunia dengan mengutamakan perniagaan tanpa mengendahkan ibadah lima waktu yang hanya memerlukan masa kurang 10 minit.

Namun, rata-ratanya masih mengejar habuan kedunian ini dengan alasan 'tidak sempat'. Pembeli datang terlalu ramai sehingga tidak sempat untuk menunaikan solat, terutamanya solat asar khususnya bagi peniaga-peniaga di Bazar Ramadhan.

Bayangkan rezeki yang diperolehi dari titik peluh hamba yang tidak menunaikan solat fardhu dan rezeki yang diperolehi itu diberi makan untuk anak-anak dan isteri, bagaimanakah kehidupan yang ingin terus ditempuhi bersama anak dan isteri sedangkan sumber yang diperolehi walaupun halal tapi dicemari dengan kemungkaran yang nyata? Hal ini dapat dilihat di mana-mana tempat/pasar perniagaan yang diwujudkan sepanjang Ramadhan, di tempat lain wallahua'lam. Perniagaan memang disarankan dan di dalam al-Quran juga menyebut perihal perniagaan.

Allah berfirman yang bermaksud: Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan. (al-Jumuah: 10).

Rasulullah SAW juga bersabda : “Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para Nabi, para siddiqun dan syuhada”. (riwayat at-Tirmizi)

Peniaga dapat kita temui di merata-rata tempat, namun untuk menemui peniaga muslim bukanlah suatu yang mudah. Apatah lagi hal keimanan ini bukan perkara yang boleh diukur dengan mata kasar. Namun hakikatnya ramai yang meraih keuntungan tanpa mempedulikan seruan agama yang merupakan kefardhuan bagi melaksanakannya.

Justeru, '1 Ramadhan 1 banner' mengajak kita untuk bermuhasabah, setiap hari apakah banner (muhasabah) yang dapat kita tegakkan dalam diri kita? Benarkah kita peniaga muslim? sejauhmanakah ia? Jika Islam itu sinonim dengan perniagaan (Islam itu dagang), maka peniaga muslim pastinya berbangga dengan mesej dakwah Islam yang berjaya ditebarkan melalui perniagaan.

Muhasabah kembali Ramadhan kita setahun yang lalu, bagaimana pula pada tahun ini? '1 Ramadhan 1 Banner' mengajak anda untuk menjadi hamba yang ingin memperbaiki diri, hamba yang bertaqwa bahkan peniaga yang muslim.

'1 Ramadhan 1 Banner'.

5:01 PM

Kiriman Ros Dari Penghulu

Posted by Mohd Khairul Mohd

Saya percaya tajuk di atas agak kontroversi, abaikan seketika tajuk di atas yang hanya boleh dikategorikan sebagai 'penggoda maya'. Pada pagi ini saya menerima sepucuk bunga ros dari seorang sahabat yang kini masih menuntut di al-Azhar Mesir. Ros yang dimaksudkan bukanlah sepucuk bunga yang yang boleh disentuh mahupun dihidu, ia hanya dihantar melalui emel.

Saudara Fahmi yang berasal dari Selangor adalah mantan Penghulu Kamsis Syarbini di bawah Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta (DPMT). Beliau memang terkenal dengan keperihatinannya turun padang menziarahi ahli, membantu tugasan DPMT dan paling membanggakan beliau dapat melaksanakan dengan segera apabila diberi sesuatu tugasan.

Ros yang dikirim adalah sebagai pengganti diri untuk meraikan hari bersejarah saya tidak lama lagi, saya masih ingat sewaktu menerajui Biro Suara Permata sebagai Ketua Editor buletin, beliau adalah penghulu yang paling awal menghantar bahan untuk tujuan penerbitan, beliau juga datang ke rumah saya berbincang berkenaan persiapan bahan-bahan untuk diterbitkan ke dalam lidah rasmi DPMT Suara Permata.

Contoh yang baik ini perlu ada pada setiap penghulu dan bakal penghulu kamsis, sebanyak lima kamsis diwujudkan oleh DPMT sebagai pembahagian kawasan perumahan yang didiami warga DPMT dalam memudahkan lagi pengurusan DPMT melalui penghulu-penghulu yang telah dilantik.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Penghulu Kamsis Syarbini di atas doa dan ingatan beliau menjelang hari perkahwinan saya bersama srikandi kacukan Cina-Melayu pilihan hati, Nurul Huda. Terima kasih juga saya ucapkan kepada sahabat yang lain dari pelbagai institusi pengajian samada dalam atau luar negara. Rakan-rakan di IPT tanah air -KUDQI, KUSZA & IPTA/S. Teman-teman di Mesir, Syria, United Kingdom, Yaman dan Jakarta, Indonesia.

Teman-teman blogger dari segenap penjuru negara, ahli politik dan NGO semuanya akan tetap saya kenang sebagai penyambung dan pemamngkin kepada perjuangan ini. Doa kalian adalah restu dan mohon perkenan dari tuhan maha pencipta, moga usaha murni ini menjadi satu titik-tolak untuk membuka lembaran baru dalam menepuh alam kehidupan sebagai khilafah kecil dalam pentadbiran sistem berumahtangga.

Terima kasih semua!

7:19 AM

FUTSAL: 24 Penyertaan Pasukan

Posted by Mohd Khairul Mohd

Alhamdulillah.. Semalam berlangsung sudah Kejohanan Futsal Piala Mudir anjuran Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT). Saya kira penganjuran ini cukup bermakna dengan kemudahan dewan, keselesaan tempat dan kemudahan asas. Namun, yang paling bermakna bagi saya ialah penyertaan terbaik yang diberi oleh para pemain dan pemerhati pada perlawanan ini. Penyertaan yang begitu ramai adalah sesuatu yang diimpikan oleh PLPDT untuk menyatukan ahli dan pemuda-pemuda dalam memperkenalkan sebuah perlawanan yang bercirikan Islamik dan mengangkat mutu persaudaraan yang ingin diterapkan melalui aktiviti ini.

Al-Fadhil Ustaz Azhar Rajab, guru Madrasah Darul Taqwa juga turut hadir memberi sokongan kepada pemain dan lebih istimewa lagi sebagai sokongan kepada bekas anak didik beliau suatu ketika dahulu. Kini mereka kembali memberikan sebuah 'hadiah' yang cukup bermakna bagi lepasan pelajar dan guru-guru yang pernah mendidik mereka selama ini.

Penyertaan 24 pasukan ke Kejohanan Futsal Piala Mudir menarik perhatian saya, saya dijemput sebagai urusetia yang mungkin pada saya perkhidmatan yang saya berikan tidaklah seberapa berbanding sahabat-sahabat yang terlibat sepenuhnya dalam persiapan kejonan ini.

Kebanyakan mereka yang hadir ke perlawanan ini adalah junior-junior saya di Madrasah Darul Taqwa dahulu, di kalangan mereka ada yang saya tidak kenali, ada yang hampir-hampir tidak dikenali dan ramai juga abang senior lepasan MDT yang memberi komitmen dalam penganjuran ini. Sahabat-sahabat, pensyarah dan kenalan lain tidak melepaskan peluang untuk menghangatkan lagi perlawanan ini, antaranya pensyarah KUDQI, lepasan mahasiswa KUDQI, pelajar al-Azhar Mesir dan kenalan-kenalan yang masih menuntut atau sudah bekerja.

Dapat bertemu kembali sahabat-sahabat lama di kejohanan ini seumpama pertemuan di majlis kenduri kahwin, di kalangan mereka ada yang telah berkeluarga, ada yang membuka perusahaan sendiri dan sebagainya. Jelas, matlamat yang digariskan oleh PLPDT sedang menuju ke garisan yang diharapkan. Perkembangan ini sungguh memberangsangkan dan diharap ada peningkatan dari sudut penjumlahan dan keahlian PLPDT dari semasa ke semasa.

Kerjasama yang baik datang dari perancangan yang rapi, saya dimaklumkan pihak penganjur memperuntukkan masa sebulan untuk persediaan menganjurkan kejohanan ini. Rata-rata di kalangan peserta berpuas hati dengan penganjuran ini, walaupun di sana masih terdapat kesulitan dan kelemahan dari pihak penganjur. Namun, ia masih dapat diperbaiki untuk dimuhasabahkan kembali bagi perlawanan yang akan dianjurkan pada masa akan datang.

Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini, penyertaan anda adalah penguat dan iltizam PLPDT untuk terus landas ke depan, memperbaiki segala kelemahan dan mempertingkatkan pengurusan gerak kerja untuk menjana kebajikan dan melonjakkan kekuatan Islam dalam arena kehidupan.

5:53 PM

PPSMI: Penghinaan Berterusan

Posted by Mohd Khairul Mohd

2 tahun yang lalu saya berpeluang mengajar di sebuah sekolah rendah di kawasan yang agak pendalaman sebagai guru sambilan. Mengisi masa cuti pengajian dengan pulang ke tanah air sebagai guru sambilan banyak meninggalkan saya kenangan. Tidak kurang juga cabaran yang dihadapi bila mengajar di bulan Ramadhan, cabaran berdepan dengan karenah para pelajar dan keletihan untuk berniaga di Bazar Ramadhan pada sebelah petang. Terlintas di benak fikiran, "bukan senang nak jadi senang".

Lintasan ini tidak mengganggu prestasi kerja bahkan cukup menginsafkan bilamana mengenangkn bagaimanakah nasib
ibu-bapa yang mencari sesuap nasi untuk anak-anak mereka, "ya! aku perlu gigih mendidik anak bangsa agar mereka tidak ketinggalan dalam arus edaran zaman dan paling penting agar mereka tidak selemah aku dalam pengajian".

Memulakan sesi mengajar dengan subjek Bahasa Melayu. Ya, Bahasa Melayu adalah matapelajaran yang paling saya minati, saya pernah menceritakan minat ini kepada sahabat-sahabat mahasiswa/wi baru 'freshie' semasa mereka menyertai program Minggu Suaikenal di KUDQI lebih 5 tahun yang lalu. Saya menerangkan kepada mereka kepentingan bahasa melayu yang banyak memberi manfaat kepada anak bangsa tetapi diabaikan dan dipandang enteng oleh sesetengah orang melayu itu sendiri terutamanya pelajar.

Hal ini turut dialami di kalangan murid-murid saya di sekolah rendah tersebut, lalu saya berfikir mungkin dapat dimaafkan lagi dengan pendedahan awal terhadap murid-murid ini dan ruang untuk guru-guru mencari inisiatif masih terbuka luas. Namun, hal ini tidak mudah seperti apa yang dibayangkan. Ramai di kalangan ibu-bapa yang meletak tanggungjawab pendidikan sepenuhnya kepada guru-guru yang mengajar anak-anak mereka. Proses pembelajaran hanya berperanan di sekolah, manakala proses ini akan hilang entah ke mana bilamana anak-anak pulang ke rumah masing-masing sebaik saja tamat waktu persekolahan. Ada di kalangan anak-anak yang tidak terus pulang ke rumah, sebaliknya melencong ke tempat lain dulu melepak dan menghabiskan masa bersama aktiviti-aktiviti yang tidak ada kaitan dengan pembelajaran, bahkan lebih memilukan bila melihat peranan ibu-bapa tidak begitu berfungsi dalam memberi pendidikan dan membentuk suasana pembelajaran terhadap anak-anak mereka di rumah.

Walaupun tidak semua ibu-bapa kerkeadaan sedemikian rupa namun di kawasan pendalaman
hal ini begitu ketara dengan segala kekurangan yang terpaksa dilalui. Belum sempat untuk memikirkan bagaimana cara terbaik untuk mengatasi permasalahan ini, timbul pula gesaan perlaksanaan PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagaimana keputusan dasar kerajaan yang dibuat hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002.

Biarpun timbul pelbagai ideologi politik yang berpolemik terhadap perlaksanaan ini, namun perbahasan PPSMI tidak pernah terhenti dari kehidupan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi kesulitan yang menimpa murid-murid yang berada di pendalaman. Sememangnya murid-murid di pendalaman menghadapi kesukaran yang begitu ketara terhadap perlaksanaan sistem ini, jika dihimpun dengan segala permasalahan murid-murid dan ditapis untuk mengkategorikan tahap mereka satu-persatu, maka perlaksaan PPSMi ini sedikitpun tidak membantu majoriti di kalangan mereka. Hasil yang baik terdapat di kalangan murid-murid yang dah tinggi tahap pencapaian mereka, bagaimana pula murid-murid selebihnya?

Hal ini mungkin dah lama dipersoalkan, namun biarlah ia terus menjadi persoalan rakyat yang mahukan suara mereka didengar, diberi perhatian dan mendapat tindakan yang sewajarnya dari kerajaan Malaysia. Saya berpendapat, perlaksanaan penuh PPSMI pada tahun 2008 untuk sekolah rendah sudah cukup meninggalkan bekas yang begitu membebankan murid-murid. Di kalangan murid-murid ada yang langsung tidak faham setelah mana proses pembelajaran ini bertukar 'kiblat' sehingga memaksa mereka untuk berdiri di atas 'paksi' lain dalam menerima pendidikan.

Walhal semua
ini tentu mempunyai kaitan dengan saranan mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir dalam satu ucapannya beliau menyentuh berkenaan hasratnya menjelang 2020 agar Malaysia menjadi sebuah negara yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja.

Kajian menunjukkan PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris, selebihnya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik. Bagi mmahasiswa pula, mereka dipersalahkan kerana kelemahan bahasa Inggeris menjadi punca mereka sukar mendapatkan peluang pekerjaan. Akibatnya negara mencatat kadar pengangguran yang begitu tinggi sehingga banyak syarikat yang memberhentikan pekerja.

Desakan demi desakan dari pelbagai pihak termasuk NGO dan penglibatan sasterawan negara akhirnya membawa kepada keputusan untuk menangguhkan dasar ini pada 2012. Soalnya mengapa 2012? Apakah masih ada ruang untuk bermain politik dalam perkara seumpama ini? Dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Istilah terkenal yang selalu didengari "gula-gula" politik. Benarkah hasrat ini akan dilaksanakan pada 2012? Mengapa tidak sekarang atau tahun depan? Melewatkan penangguhan ini merupakan penghinaan berterusan terhadap rakyat khususnya murid-murid yang terlibat dengan perlaksanaan PPSMI.

12:46 AM

TV3 Diharap Profesional

Posted by Mohd Khairul Mohd

Sebagai sebuah agensi penyiaran meliputi pelbagai berita dan sumber, TV3 sememangnya mendapat banyak kelebihan dari pihak kerajaan 1 Malaysia pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak. Terbaru ulasan media berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disiarkan pada malam tadi dan beberapa malam sebelumya. Saya bersama keluarga ingin mengetahui perkembangan terkini berkenaan wabak yang semakin menular di negara ini H1N1. Apa yang membuatkan saya rasa cukup terkilan bilamana TV3 berlebih-lebihan berkempen bagi pihak Umno Barisan Nasional sehingga menggunakan pihak lain iaitu Majlis Fatwa Kebangsaan untuk 'menambah resepi' masakan yang tidak diketahui 'menunya'.

Dalam paparan tersebut, TV3 menyiarkan gambar Tuan Guru Nik Abdul Aziz (bukan video) sambil membuat ulasan kononnya TGNA mengeluarkan kenyataan bahawa orang Umno yang mengundi Umno tidak masuk syurga. Saya tercari-cari apakah ada video ucapan tersebut dan saya ingin tahu di manakah ulasan yang sebenar dari TGNA berhubung dakwaan yang sedang direncanakan TV3 sekarang ini.

Nyata sekali TV3 menggunakan kesempatan ini seluasnya untuk memburukkan nama TGNA selepas membuat fitnah bertubi-tubi terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kesempatan ini juga digunakan bagi meraih sokongan pengundi di Permatang Pasir yang akan menghadapi pilihanraya 25 Ogos ini. Kenapa tidak didatangkan bukti kukuh bilamana mengeluarkan kenyataan kononnya datang dari pemimpin politik? Apakah buletin TV3 juga mengguna pakai kaedah media hiburan dengan menyiarkan gosip-gosip artis tertentu walaupun ia tidak mempunyai kesahihan yang nyata.

TV3 jelas diperkudakan Umno Barisan Nasional melalui paparan berita yang tidak berasas terutama melibatkan kenyataan TGNA, paparan gambar tanpa ulasan sebenar (video) dari TGNA menunjukkan agensi ini kehabisan modal dalam menyiarkan berita berkisar politik. Tahap profesionalisme yang merudum dan moral yang teruk berjaya dipaparkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

1 Malaysia tahu TV3 media Umno, 1 Malaysia tahu TV3 pemecah belah masyarakat dan 1 Malaysia tahu TV3 sanggup diperkudakan oleh Umno Barisan Nasional. 1 Malaysia TV3 meloyakan.

4:19 PM

H1N1: Konspirasi Kapitalis

Posted by Mohd Khairul Mohd

Pagi ini saya sempat membaca sebuah tulisan dari seorang aktivis tanah air Hishamuddin Rais berhubung penyebaran virus yang menjadi acaman dunia.
Penyebaran virus Invluenza A (H1N1) telah mengorbankan 44 nyawa rakyat Malaysia (setakat hari ini) menjadikan anggaran peningkatan kematian yang dibuat oleh Dr. Hatta Mohd Ramly di dalam sebuah akhbar hampir menjadi kenyataan.
Saya menyalin semula tulisan dari laman web Malaysiakini untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat tentang beberapa perkara yang boleh difikirkan bersama berhubung isu penyebaran wabak selesema babi ini.
------------------------------
Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua fenomena ini?

Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:

- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.

Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:

"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group."

Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.

Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!

Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.

Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.

Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.

Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.

Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.

Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.

Sumber daripada http://malaysiakini.com/news/110426